Tuesday 23 July 2013


1.0          PENGHARGAAN

Alhamdulilah dengan penuh rasa bersyukur kehadrat ILAHI dan selawat serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad (S.A.W) kerana akhirnya berjaya juga kami menyempurnakan dan menyiapkan tugasan yang telah diberikan oleh Ustaz Ahmad Faiz dalam masa yang ditetapkan. Tugasan yang diberikan mengenai analisa topik yang terdapat didalam majalah Solusi iaitu mengenai Akhlak. Dengan adanya tugasan sebegini, sedikit sebanyak telah menambah ilmu pengetahuaan kepada kami berkenaan akhlak terpuji tersebut dan segala suruhan dan amanah Allah (S.W.T) kepada golongan manusia yang mulia dalam ciptaan-Nya. Semoga analisa ini menberi manfaat serta faedah yang berguna kepada kami khususnya dan kepada para pembaca amnya, juga mengandungi pelbagai pengajaran dan nasihat yang berguna. Disamping itu, maksud dan kandungan majalah solusi ini boleh diteladani dalam kehidupan terutamanya berkenaan dengan ketakwaan kepada Allah, keimanan yang kukuh, serta sabar menegakkan ajaran Allah (S.W.T). Ucapan terima kasih juga kepada semua yang banyak menbantu kami bagi menyiapkan analisa ini, terutamanya kepada kedua orang ibu bapa kami yang banyak menbantu kami serta memberikan panduan bagi menyiapkan analisa ini, tidak dilupakan juga kepada pensyarah-pensyarah yang banyak membantu kami dalam menyiapkan tugas ini dan tidak lupa juga rakan sekumpulan yang banyak memberi tunjuk ajar, semangat dan kerjasama secara langsung dan tidak langsung dalam memberikan sumbangan fikiran atau tenaga sehinggalah siapnya analisa ini. Semoga tugasan sebegini akan dapat menambah bahan bacaan ilmiah dan menyumbang kepada percambahan pemikiran ummah bagi perkembangan tamadun islam sejurus dengan kemodenan negara.




2.0       MENGUMPAT

2.1       Kebiasaan Mudah yang Membawa Padah

            Menilai orang lain dan menyebut keburukannya sangat ringan di lidah. Kebiasaan ini disebut mengumpat  (ghibah). Tidak ada yang terjaga daripada sifat buruk ini melainkan orang yang berusaha melawan nafsunya dengan bersungguh-sungguh.

            Berkenaan dengan ini, terdapat sebuah kisah yang terjadi kepada salah seorang ulama terdahulu. Beliau ialah Abdullah bin Wahb al-Fihri, seorang faqih dan muhaddith terbilang di Mesir, juga seorang murid Imam Malik. Beliau wafat pada tahun 197H. Sebagai manusia biasa, Ibn Wahb pernah memiliki kebiasaan mengumpat. Beliau lalu berusaha meninggalkan kebiasaan ini dengan pelbagai cara. Beliau bercerita : “Aku bernazar, setiap kali aku mengumpat seseorang, maka aku akan berpuasa satu hari. Namun, aku menjadi sangat lemah kerana nazar ini. Setiap kali aku mengumpat, aku berpuasa.”

            Apabila cara ini dirasakan tidak efektif lagi, Ibn Wahb mencuba cara lain. Ia berkata: “Aku lalu bernazar, setiap kali aku mengumpat seseorang , aku akan bersedekah satu dirham. Disebabkan besarnya cintakan kepada wang dirham, akhirnya aku berjaya meninggalkan kebiasaan mengumpat.”

2.2       Buah Ilmu

                Kisah ini diambil daripada kitab Tazkirah al-Huffaz karya al-Hafiz Abu Abdillah al-Zahabi. Setelah menyebut kisah ini, al-Zahabi berkata, “Beginilah, demi Allah, sikap para ulama terdahulu. Dan sikap ini terbit daripada ilmu yang bermanfaat.”

            Kata-kata ini ada benarnya. Memperbaiki diri adalah buah ilmu. Tidak berguna ilmu yang kita pelajari jika ia tidak menjadikan kita lebih baik daripada sebelumnya. Semua muslim sudah tahu bahawa mengumpat dan menceritakan aib orang lain adalah kebiasaan yang sangat diharamkan . Al-Quran  menggambarkannya bagaikan memakan bangkai saudara sendiri dalam surah al-Hujurat ayat 12.

 

Rasulullah (S.A.W) juga  sangat membenci sikap ini tidak kira siapa orang yang melakukannya. Imam Abu Daud meriwayatkan bahawa suatu hari Siti Aisyah membicarakan keburukan Safiyyah, isteri Nabi yang lain di hadapan Baginda. Aisyah berkata: “Cukuplah keburukannya, ia seorang yang pendek.” Mendengar ucapan ini, Rasulullah (S.A.W)  sangat marah. Baginda lalu bersabda yang bermaksud: “Engkau telah mengucapkan suatu perkataan yang andai dituang ke laut nescaya ia akan mengotorkannya.”

            Oleh sebab itu, setiap ulama yang takut kepada Allah (S.W.T) berusaha meninggalkan perbuatan ini dengan pelbagai cara seperti yang dilakukan Ibn Wahb di atas. Sesetengah ulama yang lain meninggalkan sifat ini sejak pertama kali mengetahui pengharamannya. Berkata Imam al-Bukhari: “Aku tidak pernah mengumpat seseorang sejak aku tahu bahawa ia diharamkan.”

            2.3       Elokkan Kata-Kata

            Imam Ibn Kathir berkata dalam tafsirnya. “Mengumpat diharamkan secara ijmak ulama. Tidak dikeluarkan daripada hukum ini kecuali perkara-perkara yang sangat besar maslahatnya seperti jarh wa ta’dil dalam nasihat.”

            Jarh wa ta’dil adalah satu tugasan dilakukan ahli hadis dalam memeriksa keperibadian dan hafalan seorang perawi hadis, termasuk membicarakan cacat cela yang terdapat pada dirinya. Perbuatan ini sebenarnya termasuk dalam kategori mengumpat, namun ia dibolehkan kerana mengandungi maslahat yang lebih besar yakni memilih hadis yang sahih daripada yang palsu.

            Jadi, ia dihalalkan kerana darurat. Maka sesuai mengikut kaedah usul,hukum darurat mesti dibatasi sekadar keperluan (hajat) sahaja. Oleh sebeb itu, diharamkan berlebih-lebihan dalam menilai perawi. Berkata Imam al-Sakhawi: “Tidak boleh mencelanya dengan dua sifat, jika dengan satu sifat telah mencukupi.” Jika kita perlu menilai orang lain, gunakanlah kata-kata yang lembut dan sopan. Imam al-Syafi’i pernah berkata kepada muridnya al-Muzani: “Wahai Abu Ibrahim, perelokkanlah kata-katamu. Janganlah engkau berkata, ‘Si polan pendusta.’ Akan tetapi katakanlah, ‘Ucapannya tidak berharga.’”

           

 

2.4       Tidak Ingin Dicela, Jangan Mencela

            Kita juga tidak bersih daripada cacat dan cela. Maka, apabila kita mula menyebut kecacatan orang lain, orang lain pun akan terdorong untuk menyebut kecacatan kita.

            Hasan al-basri berkata: “Aku pernah menemui seseorang yang tidak memiliki cacat. Setelah ia mencela orang lain, maka orag lain menemui cacatnya. Aku pernah berjumpa dengan seseorang yang memiliki banyak cacat-cela. Namun kerana dia diam daripada menceritakan kecelaan orang lain , maka orang lain tidak pun membicarakan cacat-cela.”

            Dalam hadis Abu Daud, Rasulullah (S.A.W)  bersabda yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman dengan lisannya namun keimanan itu boleh masuk ke dalam hati, berhentilah daripada mengumpat orang lain dan mencari-cari keburukan mereka. Sesiapa yang mencari-cari keburukan orang, Allah (S.W.T) akan mencari keburukannya. Dan sesiapa yang telah dicari keburukannya oleh Allah (S.W.T), maka ia akan dihina di rumahnya sendiri”

            Kebiasaannya mengumpat sangat buruk. Namun lebih buruk lagi jika ia dilakukan oleh orang yang mengetahui keharamannya. Apabila seorang tokoh agama menggunakan perkara ini, orang awam akan mengira bahawa sikap ini dibolehkan dalam agama. Untuk itu, hukuman allah sangat besar ditimpakan kepada orang yang seperti ini. Imam al-Sakhawi dalam kitab al-I’lam bi al-Taubikh menyebut beberapa ulama yang hilang hafalannya, tidak bermanfaat ilmunya, bahkan mati dalam kehinaan kerana sering mencela orang lain.

            Salah satunya daripadanya ialah al-Hafiz Ibn Sind al-Lakhami (wafat 792H), seorang pakar hadis dari Mesir. Beliau  pernah menimba ilmu daripada beberapa ulama besar seperti al-Hafiz al-Zahabi, Tajuddin al-Subki dan Ibn Kathir. Akibat sering mencela orang lain, semasa akhir hayatnya Ibn Sind lupa kebanyakan ilmu yang pernah dihafalnya, termasuk ayat-ayat al-Quran.

            Juga seorang pakar fiqah dan qadi dari Yaman. Namanya Muhammad bin Abdillah bin Adi Bakar al-Rimi. Beliau terkenal sering mencela dan memperlekeh pendapat Imam al-Nawawi. Imam al-Sakhawi bercerita: “Ulama ini meninggal dunia dengan lidah terpesong dan berwarna hitam.”

           

2.5       Mengumpat Ulama Terdahulu

Kisah pakar fiqah dari Yaman ini menunjukkan bahawa ghibah (mengumpat) tidak dibatasi dimensi ruang dan waktu. Kita tetap dikira mengumpat apabila membicarakan  keburukan orang lain yang telah wafat sekalipun.

Islam mengajar kita agar mengingati kebaikan orang yang sudah mati dan melupakan keburukannya. Dalam hadis riwayat Abu Daud dan al-Tarmizi, Rasulullah (S.A.W) bersabda yang bermaksud : “Sebut-sebutlah  kebaikan orang yang telah wafat dan tutuplah keburukannya.

Jika prinsip ini diceroboh keberkatan ilmu akan hilang. Berapa ulama silam daripada kalangan ahli hadis ataupun sufi yang rosak namanya kerana sikap ini. Imam al-Ghazali dan Ibn Taimiyyah adalah dua orang daripada sekain banyak mangsa keganasan lidah orang yang tidak bertanggungjawab.

Berkata Abu Turab al-Nakhsyabi: “Apabila hati suka berpaling daripada Allah, ia akan sering mencela wali-wali Allah.”

2.6       Diam Lebih Selamat

Bagaimanapun,diam lebih selamat. Jika kita diam daripada mencela orang yang masih hidup, maka kita selamat daripada celaan mereka. Jika kita diam dariada mencela orang yang sudah mati, kita akan selamat daripada kesukaran hisab kelak.

Seorang ulama hadis yang saya temui tidak pernah mencela dan dicela orang lain ialah Muhammad bin Hasan bin al-Sabbah al-Za’farani (wafat 260H). Beliau murid al-Syafi’i da Baghdad yang sangat tampan dan fasih, juga pakar bahasa Arab. Ahli sejarah berkata, tidak seorang pun yang berkata buruk tentang ulama ini kerana beliau tidak pernak memburukkan orang lain.

Semoga kita diberikan kekuatan untuk meniru teladan ulama-ulama salaf kita dan mulai menjaga lisan kita daripada menyebut keburukan orang lain. Amin, ya rabbal ‘alamin.

 

           

0 comments:

Post a Comment