Sunday 28 July 2013


APABILA KITA MEMBAZIR

Adakah anda sanggup keluarkan wang satu ringgit dari poket anda dan mengoyakkannya ?
  Pasti jawapan anda tidak. Sebab anda tidak akan membazir wang sebegitu. Tetapi tanya pada diri sendiri, pernahkah anda membeli majalah atau buku dan meletakkannya ke tepi, kemudian anda tidak sempat membacanya?
  Pernahkah anda membeli baju baru dan selepas beberapa bulan, baru anda menyedari hanya memakainya sekali saja? Pernahkah anda membeli sesuatu yang anda rasakan amat anda mahukan, tetapi hakikatnya anda tidak memerlukannya?
  Pasti pernah bukan? Malah kebanyakan kita mengalami perkara ini.  Apabila melihat wang ringgit di tangan, semestinya kita sayangkannya kerana penat lelah kita bekerja untuk mendapatkannya. Tetapi apabila tiba masa untuk berbelanja dan membeli, adakalanya nilai barang yang dibeli sudah tidak dapat dilihat dan di sini pembaziran berlaku.

  Berikut enam sebab punca pembaziran :

1. Kita memberi alasan untuk berbelanja
    
 Kita sering member sebab perlu berbelanja seperti , “Aku dah kerja keras, aku berhak berbelanja untuk kepuasan diri”. Tidak kira sama ada untuk membeli sesuatu yang mahal, makan minum yang mewah atau percutian di luar kemampuan.
      Adakalanya kita menyakinkan diri sendiri untuk menjaga ego bahawa kita mampu berbelanja sedemikian.

2. Kita tidak mahu dilihat kedekut
      Adakalanya kita sibuk memikirkan tanggapan orang lain pada diri kita. Kita rasakan orang akan menganggap kita kedekut sekiranya kita kurang berbelanja. Untuk meningkatkan keyakinan diri, kita berbelanja supaya mendapat apa yang dianggap ‘persetujuan’ daripada orang lain.

3. Kita rasakan sukar untuk memahami kewangan
     
Alasan tidak memahami perihal kewangan juga sering diberi seperti, “Aku tidak pandai dengan angka”, “Aku tak akan jadi kaya” atau “Sukarnya memahami pelaburan”.
      Alasan sebegini juga mengukuhkan lagi sebab kita perlu berbelanja dan membazir dan pada masa sama tidak pula menyimpan dan melabur.

4. Kita suka pada kepuasan sementara
     
Apabila emosi menguasai perasaan ingin membeli, pasti kita akan membeli sesuatu tidak kira sama ada perlu ataupun tidak.
      Kepuasan sementara yang dialami apabila mengeluarkan wang dan mendapatkan sesuatu itu rasa bagaikan satu nikmat yang amat sangat.

5. Kita tidak mengaku (atau tahu) jumlah sebenar perbelanjaan kita
     
Pernahkah kita mengira jumlah sebenar perbelanjaan bulanan dengan tepat? Selalunya tidak. Mungkin anda mengira bil telefon, bayaran rumah, ansuran kereta, bajet makan minum sebulan serta mengira wang untuk hiburan dan seumpamanya.
      Tetapi bagaimana pula dengan perbelanjaan yang datangnya sekali sekala seperti bayaran insurans kereta, cukai jalan, bayaran servis kereta, baik pulih rumah atau temu janji doktor gigi setahun sekali?
      Adakah perbelanjaan sekali sekala ini dikira dalam bajet bulanan? Selalunya tidak dan ini yang mengakibatkan kita tidak dapat lihat perbelanjaan sebenar dan menyebabkan kita berbelanja lebih.

6. Kita melengah-lengahkan masa menguasai wang
     
Saya yakin ramai antara kita ingin memperbaiki kedudukan kewangan diri sama ada dengan cara melabur, memulakan perniagaan atau ingin mempelajari skil baru untuk menambah pendapatan. Namun, kita melengah-lengahkan masa dan tidak meletakkan ini sebagai keutamaan.
      Akibatnya, kita berbelanja dan membazir sehingga tiba waktu terbaik untuk kita mulakan langkah memperbaiki kewangan.
      Dengan memahami dan mengetahui sebab kita membazirkan wang, kita maju setapak ke hadapan dalam memahami tabiat kewangan kita. Mudah-mudahan kita akan ingat enam sebab ini sebelum kita melakukan pembaziran.

  

      Soalan
     
Saya baru mendirikan rumah tangga tahun lalu dan kami bakal menerima cahaya mata tidak lama lagi. Sebelum berkahwin, saya sering boros namun tidak terasa sebarang kesusahan.
      Kini lain pula apabila berkeluarga, terasa kesulitan apabila membazir. Apatah lagi dengan anak yang bakal lahir, saya mula risau. Apakah yang perlu saya lakukan?

                                                                    Izudin Mohammad,

                                                                Kota Bharu, Kelantan.

      Jawapan
      Perancangan kewangan penting ketika masih bujang. Ia berlipat kali ganda pentingnya apabila berkeluarga dengan lebih banyak mulut untuk disuap.
      Lazimnya kita terlupa untuk melihat keadaan kewangan jangka panjang akibat pembaziran hari ini. Mungkin ia tidak terasa dalam tempoh singkat seperti dua atau tiga bulan dari sekarang, tetapi ia pasti akan member impak kepada keluarga dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang jika tidak melakukan perancangan awal.
      Sebelum menyambut cahaya mata, inilah, masa terbaik untuk fikir dan rancang masa hadapan keluarga. Sikap boros dan membazir perlu dikikis kerana sikap itu mencerminkan kegagalan kita melakukan perancangan.
     Kita sedia tahu emosi memainkan peranan penting dalam pembelian dan pembaziran. Apa kata anda menggunakan elemen emosi ini pula manfaat anda.
     Caranya, fikirkan kesulitan dan kesusahan anda, isteri serta anak dengan penuh emosi. Emosi ini akan membuatkan kita lebih risau seperti anda alami kini dan kerisauan itu boleh menjadi satu motivasi untuk tidak lagi boros dan membazir dalam perancangan kewangan masa hadapan.

0 comments:

Post a Comment