Tuesday 30 July 2013


 
 
 
Seronok!!! suami di dapur
Seorang teman memberitahu, sejak awal perkahwinan dia memang jarang ke dapur, kecuali pada hujung minggu atau apabila saudara-mara berkunjung. Semua bertugas di dapur tergalas di bahu suami. Dalam soal ini tiada paksaan, sebaliknya suaminya yang menawar diri dan dia dengan rela (serta senang hati) menyambutnya.
   Teman kedua juga begitu. Katanya, dia hanya sibuk di dapur apabila, keluarga terutama ibu bapa, mertua dan adik-beradik ada di rumah mereka. Bukan berpura-pura tetapi untuk menjaga air muka suami. Sebaik melahirkan anak pertama, suaminya memberitahu tugas teman penulis ini hanyalah untuk menjaga anak dan membahagiakannya.
   Beruntung sungguh wanita yang mempunyai suami begini. Bukan senang untuk melihat suami tangkas beraksi di dapur. Kebanyakan lelaki lebih rela menyerahkan 100 peratus tugas di dapur pada isteri meskipun tahu banyaknya tanggungjawab yang dilaksanakan si isteri.
   Tahukah anda wanita mudah tertarik dengan lelaki yang pandai memasak dan rajin ke dapur? Jadi mengapa tidak gunakan peluang ini untuk menambat hati isteri? Memang diakui, bukan semua lelaki pandai memasak, tetapi ia satu kemahiran yang boleh dipelajari. Bak kata pepatah, di mana ade kemahuan di situ ada jalan.
   Bagi isteri pula, berilah galakan jika suami terbuka hatinya untuk menjengah ke dapur ketika anda memasak. Ramai isteri yang penulis temui berkata, bukan tidak mahu suami memasak, tetapi mereka tidak sanggup melihat ‘kesan sampingan’ kerana pelu mengemas dapur yang bersepah.
   Jangan jadikan perkara ini sebagai penutup laluan suami ke dapur. Untuk mengelakkan kesan sampingan yang anda tidak mahu itu, anda boleh menjadi pembantu ketika suami menunjukkan bakat memasaknya.
   Apa perlunya mengajak suami memasak? Ia antara cara boleh meningkatkan kemesraan suami isteri, membuka peluang yang lebih besar untuk saling bekerjasama dan memahami serta menjadi teladan yang baik kepada anak-anak.
Soalnya, bagaimana hendak mengajak dan menggalakkan suami ke dapur? Antara langkah yang anda boleh lakukan ialah :
  *Menggalakkan suami memasak makanan yang dia inginkan. Melalui cara ini suami bukan saja berfikir mengenai menu malah dia juga akan terbabit secara langsung dalam soal membeli bahan masakan – bermakna anda ada teman untuk bersama-sama ke pasar. Jika suami lebih berminat menyediakan hidangan berasaskan daging atau ayam, seimbangkan sajian anda dengan memasak sayur atau menghidangkan ulam.
  *Beri tunjuk ajar kepada suami cara menggunakan, peralatan di dapur. Awalnya, dia mungkin kekok, tetapi alah bisa tegal biasa. Tunjukkan tempat anda menyimpan bahan masakan seperti garam dan rempah-ratus.
  *Bekalkan buku resipi supaya suami anda boleh membuat pilihan dan rujukan dengan mudah. Tidak kira bagaimana dia beraksi di dapur, satu perkara penting yang anda perlu ingat, jangan tegur supaya dia mengikut cara anda. Setiap orang ada caranya sendiri dan jika dia perlukan bantuan atau panduan, dia pasti akan bertanya.
  *Puji usaha suami. Berikan pujian atas usaha suami walaupun masakannya mungkin tidak seperti yang anda harapkan. Pujilah dia kerana usahanya menyediakan hidangan untuk anda dan keluarganya. Jika anda mahu mengur masakannya, lakukan dengan cara berhemah, contohnya dengan ayat ‘Sedap masakan abang, tapi kalau kurangkan garam tentu lebih berselera saya makan’. Anda juga boleh memberi cadangan untuk dia memperbaiki kualiti masakannya. Gunakan kreativiti anda untuk memuji kekasih anda itu.
   Puji suami di depan ahli keluarga termasuk ibu bapa dan mertua. Pada mulanya suami anda mungkin malu-malu dan menafikannya tetapi, teruskanlah pujian anda. Ini sedikit sebanyak akan mendorong minatnya dan menguatkan semangatnya untuk belajar menyediakan lebih banyak hidangan. Anak-anak juga akan berasa gembira apabila mengetahui bapa mereka pandai memasak. Mana tahu ia boleh meransang anak-anak untuk makan.
  *Pilih menu bersama-sama. Buat permulaan anda boleh mencadangkan hidangan yang mudah dan apabila dia sudah mahir, anda boleh meminta suami memasak sajian yang lebih rumit dan disukai anak-anak. Jika ada anak, anda boleh meminta pandangan mereka hidangan yang diingini supaya anda dan suami boleh bekerjasama menyediakannya. Pada masa sama, anda boleh menggalakkan suami untuk mencipta resipi sendiri. Tidak dinafikan lelaki memang lebih kreatif dalam kebanyakan perkara termasuk menghasilkan hidangan baru.
  *Pergi ke pasar bersama. Babitkan suami dalam pemilihan bahan masakan dan dia mungkin terfikir hidangan yang diingininya. Beritahu suami cara memilih ikan dan sayur yang segar atau bahagian daging serta kesesuaiannya dengan jenis masakan. Terangkan juga kenapa sesetengah produk lebih baik daripada yang lain. Ini cara untuk meransang minatnya terhadap makanan yang hendak disajikan kepada keluarga.
  *Tawarkan diri untuk mencuci pinggan mangkuk. Meskipun anda tahu ia memang akan menjadi tugas anda, tetapi ambillah hatinya dengan menyatakan kesediaan untuk membersihkan peralatan yang digunakan ketika memasak. Jangan biarkan suami bersendirian di dapur kecuali atas permintaanya.
   Berdua di dapur lebih menyeronokkan darpada masak bersendirian. Selain mencuci pinggan, anda boleh membantu memotong bawang atau sayur. Kehadiran anda menemani dia di dapur sedikit sebanyak boleh membuatkan suami terasa dihargai. Ia secara tidak langsung menjadikan memasak sebagai usaha berpasukan dan bukannya tugas individu.
   Pada masa sama, perlahan-lahan anda boleh mengajarnya mengenai aspek kebersihan dan keselamatan dalam penyediaan makanan. Antaranya membersihkan pisau dan papan pemotong selepas digunakan, menanggalkan cincin dan jam tangan sebelum memasak, basuh tangan setiap kali selepas menyentuh muka, rambut, sampah dan daging mentah.
 
 
 

0 comments:

Post a Comment